Bunyi dentuman petir yang kuat diikuti dengan kilat sabung menyabung mengejutkan Mazni yang sedang leka mengulang kaji pelajaran.
Pucat lesi muka anak dara berusia 17 tahun itu kerana terperanjat. Mazni bingkas bangun. Rasa takut menyelubungi segenap sanubari gadis manis berambut ikal mayang itu. Bunyi desiran air hujan di malam hari tu tambah meresahkan hatinya menyebabkan Mazni berasa tidak bertahan lama di biliknya . Tanpa menutup lampu bilik dia terus ke ruang tamu dan duduk memeluk tubuh di sofa. Matanya merenung jauh entah ke mana. Malam itu Mazni sendirian di rumah. Ibu dan ayah serta dua orang adiknya ke rumah Pak Langnya ada kenduri doaselamat pada malam itu.
Mazni enggan pergi dengan alasan hendak mengulangkaji pelajaran kerana peperiksaan Sijil Peperiksaan Malaysia sudah hampir. Sebelum pergi, ibunya mengingatkan bahawa mereka mungkin pulang agak lewat kerana mahu menolong apa yang patut. Ibunya juga berpesan agar Mazni tidak lupa mengunci semua pintu dan tingkap. Sebaik sahaja mereka pergi, Mazni segera mengunci pintu dan tingkap. Kemudian dia terus berkurung di dalam biliknya dan mengulang kaji pelajaran. Ketika sedang asyik menelaah, hujan turun dengan lebatnya diselangi kilat sabung-meyabung. Kesunyian yang begitu mencengkam tiba-tiba mengundang resah dan takut di hati Mazni. Jam menunjukkan pukul 11.30 malam .
Mazni masih bertelekup di sofa. Hendak menonton televisyen bagi menghilangkan kesunyian, kilat dan petir yang masih berdentum dan sabung-menyabung menyebabkan hasratnya itu terhalang. Saat itu timbul rasa kesal kerana menolak pelawaan ibu dan ayahnya tadi. “AH kenapalah lambat sangat ayah dan ibu balik ni?” keluhnya untuk sekelian kali. Untuk menghilangkan rasa takut, Mazni membaca ayat kursi dan beberapa ayat al-Quran yang lain. Namun rasa cemas yang tak kunjung hilang itu menyebabkan dia akhirnya mengambil keputusan untuk tidur.
Baru sahaja hendak merebahkan badan Mazni terdengar satu dentuman yang sangat kuat. Untuk menyedapkan hati dia membuat andaian itu adalah bunyi petir. Tiba tiba telinganya menangkap bunyi pintu rumah diketuk orang. Apabila dibuka tiada sesiapa di luar. Mazni menutup semula pintu tetapi ketukan berbunyi lagi. Sebaik sahaja pintu dibuka, mazni melihat seorang wanita berusia dalam lingkungan dua puluhan berdiri di depannya. Wanita itu basah kuyup dan dia mengendong seorang bayi. Bajunya koyak dan ada kesan darah. “Maaf, kereta kakak rosak terlanggar pembahagi jalan di simpang sana. Boleh kakak tumpang berteduh sebentar dik?” kata wanita itu memecah kesunyian. Suaranya begitu perlahan hampir tak kedengaran. “EH, masuklah kak,” kata mazni seolah-olah baru tersedar dari khayalan.
Setelah mempersilakan wanita itu duduk di sofa, Mazni lantas ke bilik ibunya mancari pakaian untuk mengantikkan pakaian wanita itu yang lencun dek hujan. Juga mencari tuala bagi membalut tubuh anak wanita itu. Sementara wanita itu bersalin pakaian, Mazni bergegas ke dapur menyediakan minuman panas untuk mereka. “Maaf menyusahkan adik,” kata wanita tadi sebaik sahaja mazni meletakkan secawan nescafe panas di depannya. “Tak apa. Sekurang kurangnnya saya ada kawan,” jawab Mazni sambil menjeling bayi wanita itu yang senyap sahaja sejak tadi. Mungkin sudah tertidur agaknya. Tidak banyak yang dibualkan oleh mereka berdua. Biar pun banyak yang ingin ditanyakan oleh Mazni, tetapi mulutnya bagaikan terkunci. Sedangkan wanita itu seolah-olah lebih senang menyendiri. Mungkin dia ada masalah apabila melihat wajah wanita itu yang seolah-olah dalam kesedihan.
Tiba-tiba, “maaf dik. Kakak kena pergi sekarang.” kata wanita itu sambil meluru keluar. Mazni tidak sempat menahan dan hanya mampu memandang sambil terpinga-pinga. Beberapa minit kemudian kedengaran daun pintu diketuk orang. “Mesti kakak tadi. Ha itulah. Hujan belum berhenti dah nak pergi,” omel Mazni dalam hati sambil berlari mahu mambuka pintu. Namun alangkah terkejutnya Mazni apabila melihat seorang wanita berlumuran darah sedang mendukung bayi yang pecah kepalanya tercegat di depannya. Wajahnya amat menakutkan. Dia seolah-olah berada dalam kesakitan dan inginkan bantuan. Tubuh Mazni menggeletar dan akhirmya dia rebah tidak sedarkan diri .
Ketika membuka mata, sayup-sayup Mazni mendengar suara ibu bertanyakan apa yang sudah berlaku. Tetapi mazni tidak mampu menjawab. Dia hanya memeluk erat ibunya sambil menangis semahu-mahunya. Keesokan pagi, sambil bersarapan pagi ibunya menceritakan satu kemalangan ngeri yang berlaku dekat simpang berhampiran rumah mereka. “Kasihan pemandu wanita dan bayinya meninggal. Tu sebab kami terlewat semalam..” Hati Mazni berdebar-debar mendengar kata-kata ibunya. Dan debaran itu tambah kencang bila ayah menyampuk. “Berita kemalangan tu ada dalam akhbar hari ini. Gambar perempuan itu dengan anaknya pun ada. Nah tengok,” katanya sambil menghulurkan surat khabar itu kepada Mazni. Dengan tangan menggeletar akhbar itu disambut. Tidak salah lagi memang itulah wanita dan anaknya yang datang berkunjung ke rumahnya malam tadi
0 comments:
Post a Comment